Saturday, February 26, 2011

UKM, Bomba Jalin Kerjasama Akademik

BANGI, 22 Februari 2011: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merintis jalan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membolehkan kedua-dua pihak mengikuti program dianjurkan bersama di institusi masing-masing dalam bidang akademik dan penyelidikan, khususnya sains forensik dan kimia.
Langkah itu antara lain bakal memberi kelebihan kepada kedua-dua belah pihak ke arah penguasaan ilmu baru dalam sesebuah organisasi bagi meningkatkan ilmu dalam bidang penyiasatan kebakaran supaya dapat menghasilkan kertas siasatan berkualiti.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Profesor Dr Hassan Basri, berkata jalinan kerjasama itu bakal memberi pendedahan dan latihan kepada penuntut UKM sedang mengikuti pengajian sains forensik di peringkat sarjana.
 

“Pada waktu sama, kedua-dua belah pihak akan menempatkan pelajar dan pegawai bomba bagi berkongsi pengalaman serta dapat menggunakan kemudahan makmal siasatan kebakaran di institusi masing-masing. “Ini juga akan membolehkan pengajaran, amali dan latihan industri dilakukan tanpa banyak masalah selain meningkatkan keupayaan pelajar untuk menjalankan siasatan kebakaran secara amali,” katanya pada sidang media di sini selepas menandatangani MoU antara UKM dengan JBPM di sini, semalam.

Perjanjian itu ditandatangani Hassan dan Ketua Pengarah JPBM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim sambil disaksikan Dekan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Prof Dr Salmaan Hussain Inayat Hussain dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Amer Yusof.


Penyelaras Program Sains Forensik UKM, Prof Madya Dr Khairul Osman (kiri) dan Dekan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Prof Dr Salmaan Hussain Inayat Hussain (kanan) dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU)

source: http://www.hmetro.com.my/articles/UKM_bombajalinkerjasamaakademik/Article/
gambar: 22hb Februari 2011- Mou UKM dengan Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (Abd Raai Osman)

1 comment:

  1. Lihat gambar di album: http://www.ukm.my/jurufoto/galeri%202011/bomba%20ukm-mou/index.html

    ReplyDelete